SEJARAH RTM SABAH |
||||||
Sejarah penyiaran di Sabah bermula pada tahun 1939 dengan ulasan selari perlumbaan kuda di Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) yang dibuat dalam Bahasa Inggeris dan disiarkan melalui talian radio-telefon ke Sandakan. Radio telefon ini dikuasai oleh Jabatan Radio-Telegraf yang telah wujud sebelum tahun 1916. (Petikan dari Laporan Tahunan Jabatan Radio-Telegraf Negeri Jajahan Borneo Utara). Perkhidmatan
siaran radio sepatutnya boleh dimulakan sebelum tahun lima
puluhan tetapi tidak ada siapa pun yang mahu atau berhak
memulakannya. Atas inisiatif seorang Jurutera Telekom, Mr. Bradley, beliau
membuat percubaan siaran radio dari rumahnya sendiri
sebagai studio dan memancarkannya dengan menggunakan
alat pemancar yang terdapat di bangunan Pos dan
Telegraf yang kebetulan terletak dekat dengan
rumahnya. ( Petikan dari temuramah dengan Encik
Ian De La Harpe, bekas Juruteknik Kanan Telekom/Penyiaran 1957). |
||||||
RANCANGAN
DIPERKENALKAN DAN DIKENALI SEBAGAI RADIO SABAH |
||||||
Siaran radio dari rumah Mr. Bradley berkembang dengan pesatnya dan telah mendapat sokongan dari pihak pemerintah British Jajahan Borneo Utara. Operasi penuh dimulakan dalam tahun 1952 dengan memperkenalkan rancangan-rancangan radio yang lebih tersusun dan secara tidak rasminya perkhidmatan ini dikenali sebagai Radio Sabah. Rancangan-rancangan yang baru diperkenalkan ini dikelolakan oleh kakitangan Jabatan Penerangan dan disiarkan oleh Jabatan Telekom. Kedua-dua jabatan telah bekerjasama iaitu Jabatan Penerangan menyediakan berita, rancangan dan pengumuman sementara Telekom mengendalikan bidang teknikalnya. |
||||||
PERASMIAN
RADIO SABAH, BANGUNAN SEMENTARA DAN PELANCARAN SIARAN DI SEBELAH PETANG |
||||||
Pada 9 November 1955 Perkhidmatan Radio Sabah telah dilancarkan secara rasminya serentak dengan perasmian bangunan sementara yang terletak di Bukit Brace berhampiran dengan menara jam (clock tower) di Ibu Negeri. Turut dilancarkan ialah siaran petang oleh Gabenor Jajahan Borneo Utara, Sir Roland Turnbull. Ketika ini Radio Sabah dikendalikan dalam 4 bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan Kadazan.
Sejak dari tarikh ini Jabatan Penyiaran telah menjadi sebuah agensi kerajaan yang amat berpengaruh sekali di negeri ini. Perananya sebagai alat sebaran am kerajaan terbukti dari jumlah peruntukan wang yang besar bagi mengembang dan meluaskan kegiatan-kegiatannya di Sabah. Pembinaan stesen-stesen pemancar yang baru di tempat-tempat strategik di seluruh negeri meluaskan lagi pemancaran radio sejajar dengan pembangunan pesat di negeri ini. |
||||||
RANCANGAN
RADIO |
||||||
Selari dengan perkembangan fizikal jabatan ini, perkembangan di bidang rancangan (programme) juga amat pesat. Ini dapat dilihat dari keupayaan 'output' pada kadar kiraan masa siaran (air time) dalam seminggu. Pada tahun 1955 masa siaran di udara hanya 15 jam seminggu berbanding dengan masa siaran yang ada sekarang iaitu Rangkaian Satu (Siaran Bahasa Malaysia) 24 jam sehari atau 168 jam seminggu dan Rangkaian Kedua (Siaran Berbagai Bahasa) juga 24 jam sehari. Rancangan-rancangan di awal lima puluhan dan enam puluhan merupakan 95 peratus bahan-bahan luar negeri (foreign transcription). Pada keseluruhannya dasar rancangan Radio Malaysia Sabah adalah selaras dengan dasar Ibu Pejabat di Kuala Lumpur iaitu memberi khidmat kepada pendengar-pendengarnya imbangan rancangan yang sihat dari segi maklumat, pendidikan dan hiburan. |
||||||
KEWUJUDAN
SIARAN TV DI SABAH |
||||||
Dalam merangka Rancangan Malaysia Pertama (1965-1970), penubuhan TV di Sabah tidak dimasukkan dalam perancangan tersebut. Disebabkan perkembangan pembangunan yang berlaku pada masa itu terlalu cepat dan di luar jangkaan, maka keperluan untuk mengadakan saluran TV di negeri ini mula dirasai dan ini menyebabkan Kerajaan mengubah rancangan asal dan membawa ke hadapan rancangan tersebut. Kajian persediaan mengenai kemungkinan dapat menubuhkan perkhidmatan televesyen untuk Sabah telah disediakan oleh seorang pakar dari Kanada, Mr. G. F. Brickenden pada 4 Mei 1964. Walaupun kajian yang terperinci ini sudah siap namun projek ini tidak dapat dilaksanakan disebabkan masalah kewangan dari Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab ke atas perlaksanaannya. Bagaimanapun pada bulan November 1967 rancangan ini telah mendapat perhatian yang lebih bermakna daripada Ketua Menteri Sabah, YAB Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun, bila beliau mengumumkan kesediaan Kerajaan Negeri untuk membiayainya. Penubuhan saluran TV akhirnya berjaya diperkenalkan di Negeri Sabah atas dorongan kuat daripada Ketua Menteri Sabah dan pada 18 Januari 1969 Kerajaan Negeri mengumumkan 'Lampu Hijau' untuk memulakan projek tersebut. Kompleks TV ini merupakan bangunan-bangunan lama bekas wad rumah sakit Kelas Pertama yang dibina oleh Kerajaan British selepas perang sehinggalah tahun 1956 apabila rumah sakit berpindah ke bangunan yang baru, bangunan-bangunan lamanya terus dijadikan rumah kediaman kakitangan Kerajaan sehinggalah kawasan ini diambil sebagai kompleks TV sementara. |
||||||
Pelancaran
Perkhidmatan TV di Sabah |
||||||
| Perkhidmatan siaran TV di Sabah akhirnya dapat dilancarkan secara rasminya pada 28 Disember 1971 dan dikenali sebagai TV Malaysia Sabah. Siaran ini telah mencahayakan tempat-tempat kediaman dan juga hati masyarakat Sabah. Sebagaimana Radio, TV telah menjadi 'peti ajaib' yang dimestikan ada oleh setiap keluarga. Perkhidmatan ini juga merupakan satu lagi perkembangan dari segi perhubungan di negeri ini dan penubuhannya amat penting sekali sebagai alat yang dapat memberikan pelajaran, pengetahuan, perpaduan negara di samping menjadi alat penghibur utama. TV juga memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk lebih bergiat dan menonjolkan, dapat mendedahkan seni budaya suku kaum sebagai langkah ke arah pembangunan satu kebudayaan bangsa Malaysia yang bersatu. | ||||||
RANCANGAN-RANCANGAN
SIARAN DALAM HITAM PUTIH |
||||||
TV Malaysia Sabah mengendalikan kedua-dua perkhidmatan siaran dan penerbitan rancangan-rancangan tempatan. Semua rancangan disiarkan dari studio di Kota Kinabalu dan dipancarkan ke seluruh Sabah dalam hitam putih iaitu melalui saluran-saluran berikut:-
Saluran 10 - Kawasan Pantai Barat |
||||||
TV
MALAYSIA RANGKAIAN NASIONAL MEMANCAR KE SABAH DAN SARAWAK |
||||||
Pada mula TV diperkenalkan di Sabah rangkaian ini dikenali sebagai TV Malaysia Sabah dan hanya meliputi negeri Sabah Sahaja. Jumlah masa siaran ketika itu ialah 35 jam seminggu yang memulakan siaran dari pukul 6.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari. Dengan adanya kemudahan satelit Bumi di Tampasak Kinarut Sabah, Satelit Bumi Kuantan dan Satelit Angkasa di Lautan Hindia, siaran TV dari Kuala Lumpur boleh diterima di Sabah dan Sarawak. Siaran TV Rangkaian Nasional ke Sabah dan Sarawak ini dilancarkan secara rasminya pada 30 Ogos 1975. Dengan pelancaran ini negeri Sarawak telah dapat menikmati siaran TV buat kali pertama. TV Malaysia Kota Kinabalu pula ditukar nama menjadi TV Malaysia Rangkaian Ketiga. |
||||||
SIARAN
DARI TV MALAYSIA RANGKAIAN KETIGA DIHENTIKAN |
||||||
| Perkembangan dalam bidang penyiaran TV di Malaysia begitu pesat sekali, siaran Rangkaian Nasional mula menyiarkan rancangan-rancangan dalam warna pada tahun 1978. Pada 31 Ogos 1983 siaran TV Malaysia Rangkian Kedua dapat diterima ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Dengan adanya siaran dua rangkaian dari Kuala Lumpur siaran dari Rangkaian Ketiga akhirnya dihentikan pada pertengahan tahun 1985. Kini stesen televesyen di Kota Kinabalu menjadi pusat penerbitan rancangan-rancangan tempatan untuk disiarkan melalui rangkaian satu dan dua. | ||||||
Resolusi 800 x 600 piksel dengan IE 5.5 keatas Hakcipta RTM Sabah. Dikemaskini 14 Dis 2005 |
||||||